Tuesday, January 10, 2012

Berkomunikasi Dengan Ibu Mertua


Majalah Muslimah Januari 2009





Apabila menonton kembali filem ever-green “Ibu Mertuaku” lakonan Mak Dara yang diarahkan oleh Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, kita diberi persepsi seolah-olah itulah wajah realiti ibu mertua dalam kehidupan di alam nyata.

Watak ibu mertua yang dipaparkan itu hanyalah sebahagian daripada ciri-ciri keterlaluan yang mungkin wujud tetapi jika benar-benar berlaku ia mungkin hanyalah satu “isolated case”.

Dalam banyak siri ceramah komunikasi yang saya berikan, saya sering mengusik peserta muslimah yang menjadi audien saya tenteng persepsi mereka tentang ibu mertua.

Saya sengaja tanyakan berapakah di kalangan mereka yang tinggal sebumbung dengan ibu mertua, ternyata hanya ada dua atau tiga orang sahaja.

Ada yang berterus terang “lecehlah tiinggal dengan ibu mertua,” dan saya membiarkan mereka meluahkan perasaan dan pendapat mereka.

Ada yang mengatakan,”ibu mertua saya baik, saya sangat sayang dengannya”.
Ternyata apabila ditanyakan kepada peserta lelaki ramai yang berkata mereka tidak mempunyai banyak masalah untuk tinggal bersama dengan ibu mertua.

Ada juga ibu-ibu tunggal yang mempunyai ramai menantu tetapi memilih untuk melalui kehidupan senja bersendirian tanpa gangguan hilaian dan tangisan cucu.

Kenapa ada muslimah yang kurang selesa untuk bertemankan ibu mertua mungkin justeru sikap ibu mertua itu sendiri yang kurang memberikan ruang komunikasi yang positif.

Kadang-kadang terdapat ibu mertua yang mempunyai tanggapan yang sudah “pre-conceived” terhadap menantu perempuan atau mungkin kurang berkenan sejak anak dan menatunya diijabkabulkan lagi.
 
Jika ibu mertua sudah jijik terhadap menantu, (dalam kes filem “Ibu Mertuaku” menantu lelaki), maka elemen ketegangan seperti itu perlu kepada bedah siasat kepada punca-puncanya.

Sekiranya terdapat komunikasi yang kurang sihat di antara ibu mertua dan menantu, maka sebagai menantu perlulah dicari jalan bagimana untuk menambat hati ibu mertua.

Saya tinggal bersama ibu mertua selama 20 tahun sehingga beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir dan sempat dikelilingi oleh anak-anak saya yang membacakan ayat-ayat Al-Quran.

Apabila pulang dari kerja sekitar jam 6.30 petang saya akan menegurnya dan saya akan bertanya, “emak dah sembahyang?”
Tentulah pada saat itu lazimnya ibu mertua saya sudah menunaikan solat, tetapi itulah bentuk komunikasi saya sebagai pemanis untuk menegur ibu mertua saya.

Memang lelaki jarang punya masa untuk bermesra lama-lama dengan ibu mertua justeru banyak masa yang digunakan di luar rumah kerana urusan berkerja dan sebagainya.
Bagi suri rumah yang tidak berkerja sudah tentu masa di rumah akan dikongsi bersama dengan ibu mertua dan perhubungan itu perlu dijalin sebaik sahaja tinggal bersama.

Apakah yang menjadi daya tarikan ibu mertua lebih menyayangi menantu daripada anak sendiri adalah bertitik tolak daripada penampilan menantu itu sendiri.

Untuk menjadi muslimah yang ideal yang disayangi tentunya tempatnya di dapur dan di samping melayani suami isteri yang ditemani ibu mertua perlu prihatin dengan citarasa dan selera ibu mertua.

Tanamkan dalam minda bahawa apabila kita mengahwini seseorang kita sebenarnya mengahwini seluruh keluarganya.

Ibu bapa yang yang telah membesarkan kita hendalah dihoramati dan begitu jugalah dengan ibu dan mertua yang tidak lagi membatalkan air sembahyang.

Walaupun ajal dan maut di tangan Allah, kemungkinan usia ibu atau bapa mertua yang tinggal yang sebumbung dengan kita tidak akan lama.

Maka sewajarnya kita menyantuni mereka, dan ini akan menjadi tontonan kepada anak-anak kita agar apabila mereka dewasa nanti mereka tidak mensia-siakan kedua ibu bapa.

Komunikasi itu bukan sahaja berbentuk verbal tetapi segala tindak tanduk kita janganlah membayangkan sebarang konfrantasi terhadap mertua.

Wajah yang manis itu perlu diukir dan keikhlasan itu bukanlaah dalam bentuk ucapan semata-mata tetapi lahir daripada rasa hormat kerana siapalah tanpa kedua ibu bapa.

Lirik lagu Allahyarham R. Azmi “ayah dan ibu, ayah dan ibu, engkaulah permulaan kami, dapat melihat bulan dan matahari”, kemudian dinyanyikan oleh Allahyarham Sudirman Haji Arshad perlu dihayati.

Berdakwah dan bercrai dengan SMS?



Muslimah, Mac 2009
Apabila kita merenung kembali era dan aura dakwah Islamiah pada zaman tahun 70-an , ternyata banyak perbezaan yang telah berlaku baik yang telah dicernakan di menara gading ataupun realiti muharik yang menunjangi perjuangan dan gerakan Islam pasca dunia kampus.

Semasa angin perubahan kesedaran untuk kembali kepada Islam sebagai Manhajul hayah baik di timur mahupun di barat , dunia baru dikejutkan dengan Revolusi Iran yang membawa Ayatullah Khomeni ke mercu kuasa sebagai ulamak dan umarak pada 1979.

Memang semangat revolusi itu sedikit sebanyak tertempias di mana-mana tetapi kurang mendapat momentum di negara-negara umat Islam yang rata-rata daripada aliran Sunni meski natijah daripada peristiwa tersebut membuktikan Islam jika diberi peluang berkuasa boleh menstrukturkan landskap politik sesebuah negara.

Amerika yang telah sekian lama menjadi idola rejim lama Shah di Iran terkejut dan dengan secepat kilat mendendangkan bahaya Militan Islam dan suara itu dikumandangkan di setiap pelusuk bumi lantas kewujudan program usrah di mana-mana ditanggapi sebagai petanda bahaya kepada budaya hedonisme.

Ekoran daripada serangan ke atas World Trade Centre pada 11 September 2001 Amerika telah mengarahkan senjata perangnya ke atas negara-negara umat Islam walaupun secara fizikal hanya Iraq dan Afghanistan yang menjadi mangsa, kata-kata Bush “sama ada anda bersama Amerika tau bersama teroris” tiba-tiba membungkamkan gerakan Islam alami.

Istilah sekularsime mula bergema untuk diteliti persis yang disohorkan semasa zaman Niccolo Machiavelli (1469-1527) pemikir Renaissance pengarang The Prince yang menggagaskan ‘The end justifies the means” bagi mencapai kekuasaan dan beliaulah di antara jaguh yang mencanangkan pemisahan di antara agama dan negara.

Bahaya sekularisme yang telah terbukti mempunyai peranan untuk menghancurkan Empayar Uthmaniyah terbukti apabila ia terkubur pada 24 Mach 1924 di Turki dibincangkan di mana-mana dan ia menjadi wacana gerkan Islami alami hatta sehingga kini terdapat usaha untuk kembali kepada syariat yang syumul.

Nama-nama seperti Assyahid Hassan Al-Banna, Syed Qutb, Abul Hassan Ali-Nadawi, Sayyd Abul’Ala Al-Maududi dan banyak lagi nama-nama pemikir Islam mula menjadi sebutan pada awal 70-an di Malaysia dan teks usrah pada masa itu diambil daripada buku karangan tokoh-tokoh berkenaan.

Dalam tahun 70-an gerakan Islam begitu menonjol di Malaysia seperti Darul Arqam, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Jamaah Tabligh, Islamic Representive Council (IRC) satu gerakan yang dipelopori oleh jurutera di London dan kemudinnya ia bertukar menjadi Jamaah Islam Malaysia (JIM), Usrah Iran, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan badan-badan yang ada nama dan tidak ada nama.

Jamaah yang terus beroperasi yang terkenal dengan enam prinsip dan tidak terlibat dengan mana-mana parti politik adalah Jamaah Tabligh yang diasaskan di India sentiasa istiqamah dengan program khuruj (keluar) 3 hari, 7 hari, 40 hari, 4 bulan dan setahun untuk mengajak manusia kepada Islam yang syumul.

Semasa dakwah bermula di Malaysia banyak mehnah yang diharungi terutamanya bagi muslimah yang mengenakan pakaian furdah sehinggakan dimomokkan sebagai “hantu pucong” dan sebagainya dan bicara menutup aurat pada zaman itu adalah sesuatu yang digeruni.

Hari ini semua kita faham tuntutan untuk muslimah menutup aurat di hadapan lelaki ajnabi dan penutupan aurat atau kewajipan perempuan untuk memakai tudng bukan lagi isu sebab tentera dan polis muslimah di Malaysia sendiri sudan memakai tudung sebagai sebahagian daripada uniform kerja mereka.

Zaman terus berlalu, dan apa yang diharapkan para muharik yang telah lama ditarbiyah baik yang melalui proses tarbiyah jasadi, tarbiyah ruhiyyah, tarbiyah haraki dan tarbiyah syahsiah akan meninggalkan legasi kepada generasi pengganti kerana kerja dakwah tidak ada cuti dan ia berterusan seperti sabda Nabi s.a.w. Al jihadu madhin ila Yaumil Qiyamah (Jihad itu berterusan hingga hari kiamat).

Apabila disebut jihad kita janganlah menyempitkan kosep jihad yang luas yang tidak semestinya mengangkat senjata di medan perang kerana Rasulullah s.a.w. sendiri bersabda ;“Kita kembali daripada medan jihad yang kecil (peperangan) kepada medan jihad yang lebih besar iaitu jihad melawan nafsu”.

Lantas jika berlandaskan kepada hadis berkenaan kita tidak perlu bersusah-susah lagi kerana jihad yang paling aula adalah memerangi hawa nafsu sendiri dan cukuplah kita duduk di rumah dan kita tidak perlu memikirkan orang lain kita jagalah keluarga kita sendiri daripada bakaran api neraka orang lain nafsi-nafsi.

Tetapi apa yang diajarkan bukan begitu kerana Rasulullah s.a.w. mengibaratkan umat Islam ini bagai di dalam satu bahtera maka jika ada penumpang yang di bawah yang cuba untuk menebuk lantai bathera untuk mendapatkan air maka dengan kita-kita sekali akan karam.

Adalah menjadi tugas kita untuk membuat kerja dakwah berdasarkan kemampuan kita sesuai dengan hadis Nabi s.a.w .; “sampaikanlah dariku walaupun sepotong ayat”, kerana setiap daripada kita adalah pemimpin yang akan dipertanggungjawabkan tentang siapa yang kita pimpin apabila kembali mengadap Allah Robul Jalil di Yaumil Mahsyar.

Di antara saranan dakwah yang strategik, praktikal dan efisien sejajar dengan perkembangan teknologi maklumat adalah berdakwah dengan Layanan SMS (Short Message Service) apalagi dengan semakin bercambahnya layanan serupa dengan segala bentuk nama dan jenis yang boleh dimanfaatkan oleh kaum Muslimin sebagai consumer untuk tujuan dakwah.
 
Dalam zaman internet yang turut mengundang gejala fasad dan fitan kini, daripada fenomena yang tidak akan menjadikan Muslim bertambah baik adalah menjadi tanggungjawab untuk kita menegakkan amar ma'ruf dan nahi munkar melalui program Dakwah Via SMS yang boleh diusahakan oleh hartawan Muslim yang ingin mengimfakkan harta mereka ke jalan mardhatilah.

Daripada bertukar-tukar mesej kasih sayang dan rindu dendam elokklah difikirkan bagaimana SMS boleh dijadikan alat dakwah termasuk pengumuman waktu solat, maklumat surah daripada Al-Quran, Himpunan Hadis dan fakta-fakta Fardu Ain yang wajib diketahui oleh setiap manusia Muslim.

Apabila sudah faham Islam, tidaklah nanti ada sang suami yang melafazkan talak melalui SMS kepada isteri kerana itu adalah satu perkara yang ironis, walaupun talak itu dibenarkan di dalam Islam tetapi modus operandi perlafazan itu sewajarnya tidak dengan mengaplikasikan medium dunia informasi digital terkini.